Dijual antara RM100 sehingga RM1,500 bergantung pada jenis kenderaan berikutan ada yang amat sukar ditemui.
Jika dilihat tindakan lelaki ini memusnahkan kereta mainan mungkin dianggap gila.
Namun itulah cara dan hasil seni ditampilkannya bagi mengubah kereta mainan berjenama Hot Wheel menjadi satu karya seni yang unik.
Bermula sebagai pengumpul dan peminat setia kereta mainan Hot Wheel, Mohamad Raimi Mohd Rosli 30, yang berasal dari Bukit Tengah, Seberang Perai, Pulau Pinang mula mencari kelainan apabila hobi bertukar kepada perniagaan di mana dia berani tampil mempersembahkan hasil seni dengan cara tersendiri.
Bermula pada 2012, dia yang meminati robot mainan jenama Gundam dari Jepun dengan berkonsepkan kematian atau kemusnahan. Mula mendapat idea untuk menerapkan konsep itu kepada kenderaan Hot Wheels yang dikumpulnya.
Mohamad Raimi berkata, pada peringkat awal, dia hampir berputus asa apabila kerja menjahanamkan kereta terbabit gagal, namun perjalanan seninya tidak terhenti di situ.
Menurutnya, dia mula merujuk laman sesawang dari negara Jepun dan mempraktikkan segala yang ditunjuk ajar untuk mencapai cita-citanya itu.
“Walaupun laman sesawang itu menunjukkan cara mengubah robot, namun caranya agak sama apabila diterapkan kepada kereta mainan yang saya kumpul.
“Saban hari, saban waktu saya tekun mempelajarinya akhirnya kini saya mampu berbangga berikutan di Malaysia malah di Asia, hanya syarikat perniagaan saya antara yang pertama menghasilkan seni kustom membabitkan Hot Wheels sebegini,” katanya.
Mohamad Raimi berkata, kerjaya seninya itu kini membuka mata umum apabila dia memiliki rangkaian peminat Hot Wheels Kustom bukan sahaja di Malaysia malah dari seluruh negara terutamanya negara-negara Asia seperti Jepun, Indonesia, Brunei, Filipina malah dari Eropah.
“Karya seni saya di Malaysia ramai yang tidak tahu sebaliknya di Asia, peminat kereta sebegini amat tertarik dengan konsep yang saya persembahkan.
“Malah pada tahun lepas (2014) kerjaya saya sebagai ‘kustomizer’ diiktiraf penganjur Indonesia dalam pertandingan Hot Wheels Competition Diecast Indonesian Expo di mana saya mendapat naib johan mengalahkan lebih 100 peserta dari seluruh Asia,” katanya.
Menceritakan proses mengerjakan kereta mainan itu, Mohammad Raimi berkata, proses mengetuk, menebuk dan melunturkan warna asal kenderaan itu semua dilakukan sendirian malah percaya atau tidak, dia pernah melenyek kenderaan mainan terbabit menggunakan tayar kereta.
Menurutnya, selepas proses menjahanamkan selesai dilakukan barulah kerja-kerja proses mengubahsuai dan menghias jentera berkonsep ‘rustic’ dilakukan serta kebanyakan aksesori hiasan menggunakan produk yang diimport dari Jepun.
“Khususnya rumput, ia memang sukar didapati di Malaysia, sehingga saya terpaksa mengimportnya dari Jepun.
“Selepas proses mengetuk dan melusuhkan keadaan kenderaan itu, barulah kerja mewarnakan serta menghias jentera terbabit bagi menampakkan ia seperti terbuang dimulakan.
“Proses membuat setiap set seperti ini tidak lama dan kadang-kala mengikut ‘mood’ dan idea yang ada. Kadang-kala dalam sehari saya mampu menyiapkan antara satu ke tiga buah set," katanya.
Ditanya mengenai harga pula, Mohamad Raimi berkata, ia dijual antara RM100 sehingga RM1,500 bergantung pada jenis kenderaan berikutan ada yang amat sukar ditemui.
“Semua kenderaan yang saya gunakan dalam seni adalah 100 peratus dari jenama Hot Wheels, malah ada antara kenderaan terbabit bernilai hampir RM1,000 sebuah dan ia tidak termasuk seni mengubahnya.
“Pernah seorang pengumpul tegar mainan itu datang ke premis dan menangis apabila melihat sebuah kereta yang sukar diperoleh ‘dijahanamkan’ oleh saya. Menurutnya sudah lama dia mencari model terbabit berikutan amat sukar diperoleh diseluruh dunia.” katanya.
Bagi peminat jenama Hot Wheels yang mahukan kelainan terhadap koleksi mereka, bolehlah melawat laman social ‘RAIMIKUSTOMZ’ atau terus berkunjung kepremisnya di Taman Pauh, Seberang Jaya.
Comments
Post a Comment